Biarpun
anda hanya berjalan-jalan untuk ke sesuatu tempat,
tetapi setiap pergerakan yang dilakukan sebenarnya telah membuatkan
jantung anda bergerak dan lebih aktif. Apatah lagi jika anda
seorang lelaki yang suka bersenam demi menjaga kesihatan, bonusnya
ia akan membakar lemak, membentuk otot serta latihan bagi kardiovaskular.
Jumlah
kalori yang dibakar selama bersenam berdasarkan pada
banyak faktor, termasuk berat badan, jumlah olahraga, tingkat
tenaga dan metabolisme. Nilai yang diberikan untuk sejumlah
kalori yang dibakar per jamnya dalam senaman berdasarkan pada
rata-rata lelaki dengan berat badan 170 paun.
1.
BERJALAN KAKI - Jalan kaki merupakan latihan yang baik
sebagai permulaan dalam diari anda. Mulakan dengan berjalan
kaki selama satu jam di waktu pagi. Untuk hasil terbaik, jagalah
detik jantung anda pada 70 peratus dari detik jantung maksimum
(detik jantung maksimum sama dengan 220 dikurangi usia anda).
Semua otot di kaki akan bergerak dan satu jam berjalan cepat
akan membakar sebanyak 300 kalori.
2.
BERLARI - Berlari dapat meningkatkan kesihatan
kardiovaskular dan merupakan cara yang baik untuk membakar lemak
tubuh. Namun, berlari dalam waktu yang cukup panjang boleh menyebabkan
kekuatan otot hilang dan cedera akibat sering digunakan. Berlari
setempat dapat menguatkan kelompok otot dalam kaki termasuk
otot-otot yang terdapat di paha.
Berlari selama satu jam dengan kecepatan sederhana akan membakar
lebih kurang 760 kalori.
3.
MENDAKI BUKIT - Sangat baik untuk membakar lemak
sekaligus menguji kekuatan otot kaki. Jika anda meluangkan masa
selama satu jam mendaki bukit, ia bersamaan dengan pembakaran
sebanyak 530 kalori.
4.
PERMAINAN RAKET - Seperti tenis dan badminton yang akan
membuatkan otot-otot paha, lengan, bahu dan punggung bekerja
secara serentak. Inginkan hasil yang terbaik, carilah pasangan
yang memiliki kemampuan sama dengan anda. Satu jam berolahraga
akan membakar sekitar 780 kalori.
5.
REGANGAN - Cara yang paling mudah dan anda boleh
melakukan regangan sambil menonton televisyen atau di bilik
tidur. Mengerakkan kaki dan tangan selama setengah jam juga
mampu mencegah kecederaan otot sebelum berolahraga.
6. BERENANG - Sesuai buat lelaki yang benar-benar ingin
menjaga perut mereka daripada boroi. Berenang membuat semua
otot tubuh bekerja dan variasikan gaya renang anda (gaya dada,
kuak lentang dan kupu-kupu) sehingga membantu anda memperoleh
hasil maksimum dari olahraga ini. Satu jam berenang dapat membakar
460 kalori.
7.
PERMAINAN BOLA - Seperti bola jaring, bola keranjang,
bola tampar dan bola baling. Selain menguatkan latihan otot
tangan, permainan bola juga memberi kekuatan untuk paha dan
bahu anda. Risiko untuk cedera sama dengan olahraga berat yang
lain namun keberkesanannya juga tidak diragui. Bermain secara
berkumpulan akan memberikan impak yang berguna untuk anda. Satu
jam bermain permainan bola akan membakar kalori sebanyak 600
kalori.
8. BOLA SEPAK - Bergantung pada posisi yang anda mainkan,
cukup mencabar fizikal dan minda kerana permainannya yang agak
kasar dan memakan masa yang panjang. Memang olahraga ini berisiko
tinggi kerana kecederaan, namun anda perlu menitikberatkan kesabaran
fizikal dan emosi. Satu jam bermain bola sepak dapat membakar
700 kalori.
9. ANGKAT BEBAN - Cara terbaik meningkatkan tenaga dalaman
sekaligus membina otot tubuh dan meningkatkan kesihatan secara
umum. Tetapi harus diingat untuk olahraga angkat beban, anda
perlu melakukan latihan regangan sebelum dan setelah berolahraga
ini untuk mencegah daripada kecederaan dan memaksimakan kesihatan.
Anda dapat membuat setiap kelompok otot untuk bekerja dengan
mengangkat beban, tapi bentuk yang tepat cukup penting untuk
menurunkan risiko cedera. Untuk memaksimumkan pembentukan otot,
lakukan ulangan yang lebih dengan beban yang lebih berat. Satu
jam mengangkat beban membakar sebanyak 230 kalori.
Sebagai lelaki yang mementingkan kesihatan, olahraga dan
senaman cukup penting biarpun setelah anda berkahwin. Jangan
sesekali mengabaikan perkara nan satu ini kerana ia menentukan
gaya hidup anda.