Masalah: Sukar capai klimaks atau orgasma apabila bersetubuh


SETIAP kali bersetubuh, saya agak sukar mencapai klimaks. Apakah yang menyebabkan ia berlaku?
MAT,
Cherating, Pahang

KESAN tindak balas rangsangan seksual yang utama ialah klimaks dan ia berlaku secara semula jadi. Dalam erti kata lain, ia adalah satu petanda yang rangsangan seksual sudah sampai kemuncak.

Bagaimanapun, ada sebahagian individu, baik lelaki atau wanita, yang tidak mencapai kemuncak walaupun mendapat dan menghayati rangsangan seksual. Ia seolah-olah tiada kesudahan dan akhirnya hubungan seks terpaksa dihentikan kerana sudah penat.

Perkara ini boleh berlaku sekali-sekala tetapi tidak mustahil akan berterusan atau menjadi berterusan! Apa yang penting dalam hubungan seks ialah penghayatan. Seseorang itu perlu menghayati rangsangan seksual dengan meningkatkan daya tumpuan yang akan memudahkannya klimaks.

Seseorang yang melakukan hubungan seks secara terpaksa atau pun bukan dalam mood tentunya sukar untuk mencapai klimaks. Jika ini berlaku dia akan dihujani dengan rasa serba salah yang seterusnya akan membawa kepada tekanan. Ini seterusnya tentu akan lebih menyukarkannya untuk mencapai klimaks.

Masalah lambat mencapai klimaks (retarded klimaks) atau gagal mencapai klimaks boleh berlaku pada bila-bila masa. Letih dan tekanan kerja juga adalah faktor yang boleh membawa kepada masalah ini tetapi ia hanya sekadar faktor biasa dan hanya terjadi sekali-sekala.

Lelaki yang menghidap kencing manis juga mengalami masalah ini. Ini berlaku kerana kerosakan pada urat saraf. Ia berterusan dan boleh menghalang kehamilan kerana tiada ejakulasi.

Namun begitu masalah ini boleh diatasi dengan pengambilan ubat yang dapat memulihkan cetusan ejakulasi yang terbantut itu. Ada juga individu yang sudah berkahwin tetapi masih melakukan onani mendapati dia tidak dapat mencapai klimaks jika melakukan hubungan seks .

Panduan yang mustahak untuk mencapai klimaks ialah pastikan anda memang berhasrat untuk melakukan hubungan seks (bukan dipaksa atau terpaksa). Kemudian pastikan minda anda tidak ke mana selain penghayatan kepada hubungan seksual dan pastikan mood anda bersemangat untuk melakukannya.

Selain itu, sebelum memulakan hubungan seks, lebih baik dimulakan dengan bercumbu sebagai permulaan penghayatan rangsangan seksual. Ketika melakukan hubungan seks, pastikan anda merangsangkan anggota seks anda. Jika gagal juga, mungkin anda perlu berjumpa dengan doktor untuk bimbingan atau rawatan.

 

 
Web CINTA ISTERI

 

Dipetik dari Harian Metro - Credits to them