|
Adab Majlis Perkahwinan Melayu.
Mengikut adat
resam bangsa Melayu, majlis perkahwinan sepatutnya diambil berat sepenuhnya.
Kepada bangsa Melayu, majlis perkahwinan adalah peristiwa yang amat
penting dan istimewa bukan sahaja kepada pasangan pengantin tetapi kepada
ibu bapa dan ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang rapat
Adat yang berkaitan dengan perkahwinan termasuk aspek-aspek merisik,
meminang, bertunang, penghantaran belanja, majllis bersanding seharusnya
yang paling hebat peristiwanya. Mengikut adat silam, dari segi persediaan
untuk perkahwinan terdapat adat-adat berkaitan dengan berandam, berasah
gigi dan berinai. Kemuncak dalam adat resam perkahwinan keseluruhannya
adalah majlis bersanding.
Di masa silam, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan
oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing.
Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk
berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada
umumnya, ibu bapa meminta saudara mara mengesan dan mencari gadis sesuai
dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.
Adab Meminang.
Dalam
zaman mengejar kemajuan ini, adakalanya adat resam dikebelakangkan.
Ini termasuklah dalam soal adat meminang. Adat meminang boleh dibahagikan
kepada dua peringkat iaitu Merisik dan Meminang.
Apabila hati seorang teruna telah berkenan pada seorang dara, biasanya
dia akan menghantar wakil untuk merisik bagi menentukan sama ada si
dara telah berpunya atau belum. Kadang kala semasa merisik, wakil teruna
akan menyerahkan sebentuk cincin tanya. Jika pihak dara bersetuju, mereka
akan menetapkan tarikh untuk masuk meminang dan seterusnya bertunang.
Apabila hari yang ditetapkan tiba, wakil teruna akan masuk meminang
secara rasmi. Biasanya pihak teruna akan membawa bersama hadiah beberapa
dulang hantaran termasuk sebentuk cincin atau sebagainya. Pada ketika
ini, kedua-dua wakil akan menetapkan tarikh ijab kabul dan persandingan
mengikut kesesuaian kedua belah pihak.
Namun kini, hanya adat masuk meminang sahaja yang masih diamalkan. Pada
zaman teknologi maklumat ini, biasanya kedua-dua teruna dara telah berkenalan
terlebih dahulu. Jadi adat merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi.
Tambahan pula ini dapat menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah
pasangan yang inginkan cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka
lebih gemar mengikut adat.
Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga
ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan
nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.
Hantaran
Hantaran
tidak wujud di dalam Islam. Lebih-lebih lagi barang yang digubah menjadi
itik, angsa, burung dan pelbagai bentuk binatang. Ini unsur-unsur syirik
yang tidak sepatutnya diamalkan oleh umat Islam. Sekiranya ingin memberi
barang dengan niat ikhlas kepada bakal isteri, seeloknya diserahkan
lebih awal iaitu sebelum dijalankan akad nikah. Tidak dengan beradat
dulang apatah lagi dulang emas atau perak yang dilarang Islam kerana
bejana (barangan atau perhiasan rumah) emas dan perak, haram umat Islam
menggunakannya.
Tambahan pula budaya hantaran hanya akan mendatangkan kesan yang buruk
jika berlaku perselisihan faham. Sekiranya hantaran diberi sebelum bernikah
andai pihak gadis memutuskan perhubungan adat menetapkan pihak lelaki
boleh menuntut ganti rugi dua kali ganda hantaran yang diberikan kepada
bakal isteri. Ini hanya akan membebankan keluarga gadis itu..
Peminangan
& Pertunangan
Peminangan
dari sudut Islam dilakukan dengan tujuan untuk;
1. Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam
Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;"Sesempurna orang lelaki yang
beriman, keimanannya ialah mereka yang berbudi baik dan berhemah lembut
terhadap keluargaanya."
Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman
Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 34; "Maka wanita yang
salihin itu ialah yang taat serta tetap memelihara diri di kala ketiadaan
suami dengan cara yang diajarkan oleh Allah."
Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam
Riwayat Ibnu Hibban menyatakan; Sebaik-baik wanita ialah yang cantik,
manis rupanya dan murah pula mas kahwinnya.
Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah
suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie; "Tiga
perkara yang tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi ialah solat bila
tiba waktunya, jenazah yang sudah tiba dan wanita bila diperolehi sekufu
(sesuai) dinikahi.
Namun apa yang sering berlaku kala peminangan;1. Apabila lelaki datang
meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan,
pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri
lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan.2. Bila diterima, akan
ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya
hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan.
Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang menyegerakan
pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun. Kesannya
memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan
dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah
menjadi hak tidak rasmi.
|
|
Pernikahan
Sebaik-baiknya
biarlah majlis akad nikah dilakukan di dalam masjid atau surau kerana
tempat ini luas, terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau
patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan
lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad
nikah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki
dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih lagi jika rumah pengantin perempuan
kecil dan sempit. Maka pada hari itu tetamu perempuan dan pengiring
pengantin lelaki akan duduk di tempaat majlis akad nikah itu dijalankan.
Selain mengganggu pengantin lelaki, sepatutnya wanita mesti berada di
dalam bilik atau di tempat yang diletakkan tirai atau sekatan supaya
terlindung daripada kaum lelaki.
Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama
mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat kadi yang menikahkan. Manakala
selepas upacara pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan
seperti majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukan muzik, hiburan
pancaragam atau tari-menari.
Serba
Satu Putih Berdiri
Perkahwinan
dalam adat istiadat Melayu suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan
adat istiadat. Walau sehari tidak ketemu disarakan bagai setahun, namun
adat diketepi jangan. Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat.
Setiap hasrat disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang
mekar hendaklah ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting
maka bertandangkan rombongan merisik.
"Datang kami datang berhajat ingin memetik bunga di taman."
Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara suntingan,
kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan diterima
menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua "kerbau
ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru wajarlah
sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir cincin
belah rotan atau bertatah intan atau berlian.
Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan segala hal-hal bersangkut-paut
dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng dikehendaki? Berapa belanja
hangus. Apakah barang-barang yang dikehendaki waris si dara? Adakah
hantaran ini mahu dibawa pada hari pertunangan atau langsung atau sebahagian
pada hari bertunang dan bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus
diputuskan sebelum menjelang hari pertunangan.
Membuka tabir budi bicara, berkatalah wakil pihak perempuan. "Hidup
dikandung adat maka seperti yang kebiasaan begitulah kehendak kami.
Tetapi besarlah hati kami jika selain dari sepersalinan dapat kiranya
serba satu putih berdiri." Indah, halus dan penuh beralas. Hidup
menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan. Permintaan diungkapkan
dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang yang berpantun.
Perkahwinan dari segi perspektif Islam secara
ringkas
Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan
yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga
keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada
zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan.
Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri
dan suami. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. Kedua, carilah
yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat,
carilah yang beriman. Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman
perlu diutamakan.
Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa
paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia.
Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal
usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.
Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda
tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan
walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya,
lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang
manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya.
Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya
nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu
syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka
mula nampak peri laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam
masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia
menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah
dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan
anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan
pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya.
Prosedur Perkahwinans
Prosedur Perkahwinan
Perkara maha penting sebelum anda menyediakan persiapan perkahwinan
ialah memastikan anda telah mendapat kelulusan untuk berkahwin daripada
Jabatan Agama kawasan anda, contoh: JAWI, JAIS, MAIK dan sebagainya.
Tapi sebelum anda membuat permohonan untuk berkahwin, ada beberapa prosedur
yang mesti diikuti.
1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis kursus perkahwinan iaitu kursus
yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan kursus oleh pihak swasta. Walaupun
kedua-dua kursus ini hampir serupa tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil
kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan
langkah seterusnya. Bakal pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin
ditemu duga oleh Jabatan Agama ketika membuat permohonan berkahwin.
Anda dinasihatkan pergi berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala
maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus
yang biasanya mengambil masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat
Kursus yang boleh diambil di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.
2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah mengisi borang permohonan berkahwin
yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut
kad pengenalan. Isikan lengkap dan sertakan bersama surat akuan bujang
yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan
tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat
anda. Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
3. Serahkan borang yang telah lengkap kepada bakal pengantin perempuan.
Pengantin perempuan juga perlu mengisi borang permohonan bernikah. Mereka
hendaklah memohon di Jabatan Agama mengikut alamat dalam kad pengenalan.
Selain dilampirkan dengan surat akuan bujang dan borang permohonan pengantin
lelaki, pengantin perempuan perlu membawa bersama wali dan dua orang
saksi ke pejabat Jabatan Agama ketika menyerahkan borang yang lengkap
diisi. Bagi pengantin yang akan bernikah di tempat lain, mereka perlu
merujuk pula kepada Jabatan Agama tempat tersebut.
4. Setelah kelulusan didapati, sila tetapkan tarikh akad nikah dengan
jurunikah.
5. Setelah akad nikah dijalankan, sila serahkan gambar untuk urusan
memohon sijil dan kad nikah.
|
|